JURNAL #2
JURNAL HARIAN
5 APRIL 2017
Memandangkan hari ini berjalan dengan normal dan tiada aktiviti menarik untuk diceritakan, aku akan berkongsi sikit fakta pasal satu penyakit mental, iaitu 'depression' atau kemurungan. Apa yang aku sedar, masyarakat di Malaysia kurang faham dan kurang kesedaran mengenai penyakit mental seperti kemurungan dan anxieti. Sesetengah malah menganggap penyakit sebegini hanya direka oleh segelintir golongan untuk meraih perhatian dan simpati orang ramai dan masyarakat sekeliling.
Kemurungan ialah satu penyakit yang mengakibatkan bahan kimia di dalam otak mengeluarkan hormon sedih dan murung secara berterusan. Ianya adalah satu penyakit perubatan yang mengakibatkan pesakit sentiasa berasa rendah diri dan bersalah dalam setiap satu keadaan. Dalam kes yang lebih mendalam, pesakit akan mempunyai perasaan bahawa dia tidak lagi layak hidup dan berkeinginan yang kuat untuk mengakhiri hayat sendiri.
Menurut Dr Amer Siddiq, simptom-simptom yang boleh dilihat pada pesakit adalah seperti:
1. Perasaan murung atau sering marah-marah hampir sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu. Perasaan ini dilaporkan oleh pesakit secara subjektif seperti perasaan rendah diri ataupun daripada pengamatan orang luar contohnya selalu menangis.
2. Tidak bersemangat atau tidak berminat melakukan aktiviti sosial yang biasa dilakukan hampir setiap hari. Contohnya tidak berminat untuk bersukan lagi atau berjumpa dengan sanak-saudara.
3. Berat badan merosot (~5%) daripada asal dalam waktu yang singkat atau kurang selera makan.
4. Corak tidur berubah, sama ada kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia).
5. Perubahan dalam melakukan aktiviti seharian, sama ada terlebih aktif atau kurang aktif.
6. Selalu letih dan kurang tenaga dalam melakukan aktiviti harian.
7. Perasaan bersalah yang tidak setimpal dengan sesuatu kesalahan perbuatan atau merasakan diri tidak berguna
8. Tidak mampu memberikan konsentrasi atau berfikir secara rasional. Pesakit juga merasakan susah untuk membuat keputusan dalam kehidupan hariannya.
9. Berfikir tentang keinginan untuk mati atau bunuh diri dengan kerap, atau mempunyai pelan masa hadapan untuk membunuh diri.
Turut terdapat kes di mana pesakit tidak lagi mampu menangis atau mengekspresikan perasaan yang mengakibatkan semua perasaan tersebut terpendam di lubuk hati. Akibatnya, pesakit berkemungkinan besar mengalami sakit dada, kesukaran bernafas dan perubahan pada kadar detak jantung.
Antara sebab terjadinya penyakit ini adalah seperti impak psikologi terhadap kes trauma seseorang dari zaman kanak-kanak atau penyalahgunaan dadah. Faktor lain seperti kehilangan orang yang tersayang, konflik, dan perubahan kadar bahan kimia di dalam otak juga turut diambil kira.
Dek kerana pandangan masyarakat terhadap orang terutamanya pelajar yang berjumpa kaunselor ialah pelajar yang nakal dan bermasalah, mereka takut untuk memohon bantuan daripada pakar. Sikap sesetengah ibu bapa yang tidak mengambil kisah tahap kesihatan mental anak mereka juga mempengaruhi remaja untuk mengabaikan penderitaan yang dialami. Walaupun penyakit fizikal kesannya mampu dilihat dengan ketara oleh mata kasar, penyakit mental sebegini lebih disembunyikan kerana takut dengan pandangan masyarakat. Akibatnya, kemurungan membunuh pesakitnya secara perlahan-lahan dari dalam yang akhirnya boleh membawa kepada kes bunuh diri.
Itu sahajalah sedikit sebanyak perkonngsian yang mampu aku berikan kali ini. Tak banyak, tapi semoga bermanfaat.
-Baiti Husna-
p/s: artikel ini ditulis disebabkan rasa kecewa terhadap 'ketidakkisahan' masyarakat kita terhadap penyakit ini. Sebar-sebarkanlah bahawa bukan kanser sahaja yang mampu membunuh.
Comments
Post a Comment