JURNAL #11

JURNAL HARIAN


14 APRIL 2017

Kecewanya hari ni. Pagi tadi, ada lawatan dari isteri Perdana Menteri dan putera mahkota Jepun, tapi sayangnya, tak semua pelajar terlibat. Dan antara yang tak terlibat itulah aku. Huwaaaa😢😢😢. Tak acinya, 2015 ada, 2017 ada, 2016 kenapa tak ada..... Huwaaaaaaa...

 Tadi waktu spiritual circle, usrah aku bercerita pasal tokoh wanita Islam. Aku berpeluang bercerita sedikit sebanyak mengenai Siti Masyitah Imrah Hazaqil. Kenal tak? Tak? Tak patut..... memandangkan aku tengah bosan, biarlah aku bercerita pasal beliau kat sini juga. 

Bila kita berbicara mengenai tokoh wanita Islam, mesti terbayang wanita seperti Khaulah Al-Azwar yang berani dan tangkas berperang, Siti Khadijah dan Siti Fathimah yang lemah lembut ataupun Asiah, isteri firaun yang penyayang. Dalam kisah ini, Siti Masyitah ialah tukang sikat rambut anak perempuan firaun sewaktu zaman nabi Musa. Firaun yang zalim itu telah memerintahkan semua rakyat negeri itu menyembah dirinya. Ketika cahaya hidayah datang menemui Masyitah dan keluarganya, kezaliman firaun semakin menjadi-jadi menyebabkan Masyitah dan keluarganya menyambunyikan pengislaman mereka. Suami Masyitah telah dibunuh dengan zalim oleh firaun. Suatu hari, ketika sedang mendandan rambut puteri firaun itu, sikat Masyitah terjatuh, lantas dia berkata "Allahuakbar," dan tunduk untuk mengambil sikat tersebut. 

Puteri firaun yang terdengar kata Masyitah lantas bertanya, "wahai Masyitah, apakah kau maksudkan, ada Tuhan selain ayahandaku? Kau pasti akan dihukum kerana berkata begitu."

Jawab Masyitah, "ya, memang ada Tuhan yang sebenar-benarnya dan hanya Dia yang layak disembah. Bukan ayahanda tuan puteri,"

Puteri berasa marah lalu bertanya kembali, "siapakah Tuhan itu wahai Masyitah?"

"Allah Tuhanku," Masyitah menjawab dengan tegas. 

Puteri lantas menemui firaun untuk mengkhabarkan bahawa tukang sikat rambutnya telah membelot dan menolak untuk menyembah firaun.

Masyitah dan keluarganya dihadapkan ke firaun dalam keadaan paksa. Firaun mengerahkan orang suruhannya mendidihkan minyak di dalam kawah yang besar. Firaun memaksa Masyitah mengaku, firaunlah Tuhan yang sebenar-benarnya. Masyitah enggan. Lalu, di depan matanya, anak pertamanya dihumban ke dalam kawah itu. Walaupun diugut berkali-kali, Masyitah kekal dengan pendiriannya. Tiba masa bayinya dicampakkan, Masyitah tabah, walau hampir berputus asa. 

Dengan izin Tuhan, bayi itu bercakap dan meyakinkan ibunya mengenai keimanan terhadap Allah. Melihat kekuasaan Tuhan, Masyitah semakin kuat. Firaun memberi Masyitah satu peluang terakhir, siapa Tuhannya, Allah atau firaun. Dengan yakin, Masyitah menjawab "Allah," lantas dicampakkan ke dalam kawah yang mendidih itu.

Dikisahkan, ketika baginda Rasulullah s.a.w. melawat syurga sewaktu israk mikraj, baginda terhidu satu bau yang sangat harum. Apabila ditanya kepada malaikat, bau itu datangnya dari kubur Siti Masyitah dan keluarganya.

Allah..... Ini pun satu benda lagi yang lebih patut aku cemburu berbanding dengan berjumpa dengan Datin Rosmah ke, putera mahkkta Jepun ke.... Untungnya Masyitah, atas keimanan yang teguh, darjatnya di sisi Tuhan jauh lebih tinggi berbanding kita yang biasa-biasa ini.


-Baiti Husna
p/s: bukan selalu aku ada mood nak bercakap pasal sejarah...😛

Comments

Popular Posts