LAPORAN KEM KOKURIKULUM 2017

Laporan Kem Kepimpinan Badan Beruniform 2017


             Pada 21 hingga 23 April yang lalu telah diadakan Kem Kepimpinan Badan Beruniform di kem Sri Raudhah, Gombak. Kem ini telah disertai oleh seramai 368 orang pelajar Pusat Permata Pintar Negara serta 7 orang guru pengiring. Kami bertolak pada hari Jumaat jam 3.30 petang dan tiba di sana sekitar jam 5 petang. 

             Objektif kem tersebut adalah untuk menaikkan semangat kepimpinan dalam kalangan pelajar, menimba banyak ilmu seperti ilmu ikhtiar hidup serta melatih mental dan fizikal kami. 

            Sehari sebelum perjalanan kami, kami telah diberikan nombor bas yang akan dinaiki untuk pergi dan pulang dari sana untuk mengelakkan kekecohan dan huru-hara. Seterusnya, pada hari kejadian kami berkumpul di dewan serbaguna untuk mendengar sedikit taklimat dan amanat daripada Timbalan Pensyarah, Prof. Madya Dr. Rorlinda binti Yusof. Kami menaiki bas dengan teratur setelah tamat ucapan dari beliau.

           Setibanya di sana, kami disambut mesra oleh para fasilitator kem tersebut. Kami diberi taklimat mengenai peraturan-peraturan di sana oleh Abang Shaim, Abang Zaki serta Kem Komander. Selepas solat asar, kami dibahagikan ke dalam asrama yang mengandungi dalam lingkungan 20 hingga 30 orang pelajar bagi setiap asrama.

           Aktiviti kami pada malam pertama ialah kami dibahagikan ke dalam kumpulan yang mengandungi lebih kurang 15 orang pelajar. Kami dikehendaki untuk mencipta nama kumpulan iaitu gabungan nama alat muzik dan haiwan, logo serta sorak kumpulan. Kami juga diajar ciri-ciri pemimpin yang bagus.

          Pada pagi hari kedua, kami bersenam robik bersama Abang Zaki. Selepas sarapan, kami berkumpul dan bergerak dalam satu barisan untuk meredah hutan. Perjalanan kami di dalam hutan sangat mendamaikan namun agak mencabar. Kami turut meredah sebatang sungai yang airnya sangat jernih dan sejuk. Selepas melalui beberapa jalan hutan, kami tiba di hulu sungai. Fasilitator membenarkan kami mandi di dalam sungai tersebut. Kami diingatkan supaya berhati-hati kerana air sungai itu agak deras. Kemudian, kami bergerak untuk mencari kayu api yang akan digunakan dalam aktiviti seterusnya.

          Kami selamat tiba di kem semula selepas 2 jam meredah hutan. Ustaz Hafiz, seorang bekas tentera menerangkan mengenai aktiviti seterusnya iaitu menanak nasi di dalam buluh serta menggoreng telur menggunakan tanah. Kami bergerak secara berkumpulan untuk aktiviti ini. Ketua-ketua kumpulan diarahkan untuk menghidupkan api manakala ahli yang lain membantu menyukat beras dan air serta membalut telur menggunakan tanah. Kami turut diarah untuk menghias menu kami sebaik mungkin menggunakan apa sahaja bahan yang dapat dicari di dalam kawasan kem kerana ada juri yang akan mengadili menu kami.

         Pada waktu malam, selepas solat Isya', kami bermain permainan 'telur, ayam, naga' iaitu permainan yang berasaskan permainan 'gunting batu kertas'. Setiap pelajar dikehendaki bermula sebagai 'telur' dan berlawan 'gunting batu kertas' dengan pelajar lain. Sekiranya menang, dia akan menjadi 'ayam' dan sekiranya kalah, dia kekal sebagi 'telur'. 'Ayam' akan mencari 'ayam' lain untuk berlawan dan sekali lagi, jika menang, pelajar akan menjadi 'naga' dan jika kalah, pelajar haruslah menjadi 'telur' semula. 'Naga' akan berlawan dengan 'naga' lain dan naga yang menang akan menjadi 'king' atau 'raja' dan dikira sebagai pemenang dan dibenarkan duduk. Kami bermain hingga muzik dihentikan dan pelajar yang belum menjadi 'king' perlu bermain di hadapan sehinggalah tinggal tiga pelajar yang belum berjaya menjadi 'king'.  Kami bermain permainan ini sebanyak 2 pusingan.

         Setelah tamat permainan ini, kami berkumpul di dataran untuk diberikan taklimat mengenai aktiviti berjalan malam. Kami dilepaskan dalam barisan dan pelajar perempuan dilepaskan secara berdua-dua sementara pelajar lelaki secara bersendirian. Kami menikmati keindahan malam sambil berjalan di atas laluan yang telah ditetapkan. Semua pelajar tiba semula di kem kira-kira pada jam 12.10 pagi. Kami dibenarkan untuk pulang ke asrama pada jam 12.45 pagi.

         Pada pagi 23 April, kami bersenam robik sekali lagi sebelum bersarapan. Selepas itu, kami diarahkan untuk menyiapkan logo dan sorak kumpulan dan setiap 20 kumpulan mempersembahkan hasil kerja kami. Banyak nama-nama yang unik seperti Pirano (piranha + piano), Wolferine (wolf + tamborin), Dragonica (dragon + harmonika), dan lain-lain lagi. Kami turut diarahkan menulis komen dan cadangan ami di atas sehelai kertas mahjong.

       Di hujung kem, mental dan fizikal kami diuji apabila Kem Komander memarahi kami dengan teruk dan terus pergi meninggalkan kami. Kami dikatakan sebagai sekolah yang paling teruk dan pelbagai lagi hinaan dilemparkan kepada kami. Kami disuruh untuk mengejar Kem Komander dan membawa beliau pulang semula ke tapak kem. Ternyata usaha pujuk rayu 368 orang pelajar ini membuahkan hasil setelah beliau berpatah balik ke tapak kem. Beliau menjelaskan mengenai sikap garang beliau dari awal kem hanyalah gimik untuk memupuk sifat kepimpinan kami.

        Kem diakhiri dengan sedikit senamrobik dengan lagu tema kami iaitu lagu 'Darah Muda'. Kami turut bersalaman dengan para fasilitator dan meminta maaf dengan mereka. Kami bergerak pulang ke Kompleks Permata Pintar sekitar jam 2 petang.

        Sesungguhnya, kem ini telah berjaya menghidupkan semangat kepimpinan dalam diri setiap pelajar. Kem ini juga telah membawa impak yang besar terhadap pemikiran kami dan benar-benar berjaya mencapai hasrat utama kem ini iaitu menguatkan mental dan fizikal para pelajar. Kesannya, pelajar menjadi lebih berani bersuara dan berfikir sebelum bertindak. Kami sangat berpuas hati dan berharap akan ada lebih banyak kem seperti ini pada masa akan datang.



Dilaporkan oleh,                                                                                                                1 MEI 2017.

Baiti
......
(NOOR BAITI HUSNA BT MOHAMAD)
Pelajar, Kolej Permata Pintar Negara,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
Bangi, Selangor.




Jungle Trekking :)




     

 

       
       

Comments

Popular Posts